Senin, 16 Desember 2013
DAP tidak hanya bela kaum Cina
Suee Lim menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal dalam satu majlis di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sekinchan
SEKINCHAN - DAP tidak akan sesekali meminggirkan mana-mana kaum di negara ini walaupun terdapat pihak tertentu mendakwa parti itu mengamalkan sentimen perkauman yang menebal dengan hanya membela kaum Cina.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, parti itu tidak memperjuangkan dasar perkauman, sebaliknya semua kaum diberi layanan yang adil dan saksama bagi memastikan kemakmuran serta kesejahteraan negara dikekalkan.
Menurutnya, sikap sesetengah ahli parti politik yang melabel parti itu sebagai anti Islam adalah satu bentuk tuduhan melampau kerana hanya mengundang rasa marah rakyat terhadap DAP yang selama ini juga membela nasib semua kaum.
“Di Dun Sekinchan ini misalnya, saya tidak nampak ada kaum tertentu tercicir menerima segala bentuk bantuan, malah peruntukan untuk kaum Melayu adalah lebih berbanding kaum Cina meskipun majoriti penduduk di sini adalah kaum Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sekinchan.
Suee Lim yang juga Adun Sekinchan berkata, sepanjang enam tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu, beliau memberi layanan sama rata kepada semua kaum dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang layak.
“Sebelum jadi wakil rakyat pun saya selalu turun padang mendengar masalah rakyat. Perjalanan kerja saya bertambah mudah sejak jadi wakil rakyat untuk membantu penduduk yang memerlukan pembelaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat melihat hasil kerja yang telah dilaksanakan parti itu daripada mendengar tuduhan tidak berasas.
“Harapan saya, keikhlasan DAP dalam membantu dan memperjuangkan nasib hidup rakyat tidak disalah erti, pelbagai bentuk bantuan yang kami salurkan membuktikan kami sedia berkhidmat kepada rakyat yang telah memilih kami dalam pilihan raya.
“Kita harap, sedikit sebanyak rakyat faham tentang ideologi politik yang dibawa DAP daripada membuat tuduhan melulu dan saya yakin jika rakyat faham, mereka akan menerima perjuangan yang kita bawa,” katanya.
Menurutnya, kerajaan di bawah pimpinan PR di Selangor telah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh, seterusnya mampu mengagihkan sumber kekayaan negeri untuk dinikmati rakyat.
“Kita tolong rakyat bukan bermusim kerana dasar kerajaan negeri membantu rakyat berdasarkan kemampuan, kedudukan ekonomi dan pengurusan kewangan yang mapan serta kukuh supaya hasilnya diagihkan semula kepada rakyat,” katanya.
Related Posts : bela,
cina,
dap,
hanya,
kaum,
tidak
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar